Twitter
RSS

Tsunami Malaysia?

1




Sejarah adalakanya menunjukkan kenakalannya, mencetuskan peristiwa yang menggelikan hati dan sesuatu itu selalunya di luar jangkaan sekali. Sejak kebelakangan ini, dengan keadaan saya yang sebegini saya sering melakukan perkara yang rasanya kurang saya lakukan ketika di bangku pengajian iaitu meneleku dan memerhati. Pemerhatian dengan pandangan yang panjang sering terhadir di kala ini sementelahlah saya ini tidak langsung terbeban dengan komitmen-komitmen lain yang mengganggu-gugat. Inilah dikatakan orang bijak pandai, setiap sesuatu itu punya hikmah dan saya pasti hikmah itu pastinya sungguh berguna untuk saya!

Dalam tempoh saya bercuti ini, hari-hari saya kebanyakkannya tidak banyak terisi seperti biasa. Ironinya, saya banyak menggunakan masa saya sehari-hari dengan memerhati, menonton juga membaca pelbagai bahan yang dapat saya sajikan buat minda dan ilmu pendinding diri. Alhamdulillah, dalam tempoh dua bulan pertama saya sudah menghabiskan hampir 20 bahan bacaan yang berguna buat saya. Sebelum saya menukilkan ini saya baru sahaja selesai membaca sebuah novel 400 muka surat karya faisal tehrani berjudul ‘Bahlut’. Terima kasih selaut kasih kepada yang banyak mengirim bahan bacaan buat saya. Mungkin suatu hari saya dapat membalasnya.

Apa-apa yang terjadi akhir-akhir ini seolah-olah suatu janji bahawa saya diajar untuk menilai erti dan belajar meneroka jiwa dan jati diri juga megasolasi sejarah. Sejarah selalu sahaja menimpa dan sejarah itu memberi signal tegas bahawa sumbangan dan kehadirannya adalah tidak lain hanyalah untuk kita belajar merenung makna dan hakikat tujuan jalan sebenarnya seorang insan. Kenapa dan bagaimana. Juga batil dan hak bagaimana ia mahu dijalani sehari-hari.

Inilah yang saya baru sahaja belajar hasil dari pembacaan dan penelitian. Tsunami yang dahsyat.

Tsunami, jika dahulu pernah melanda nusantara dan membadai Indonesia dengan rakusnya. Kali ini, ia kembali mencari mangsa dan menemui pula sebuah Negara matah hari terbit, Jepun. Saya bukanlah seorang pemberita. Saya hanyalah penulis biasa yang lebih suka merakam pita makna dan hikmah sesuatu perkara. Ianya lebih molek saya kira kerana berita itu hanya bersifat mahu sensasi, bebal dan memalukan kerana kebanyakkannya , ia hanya berorentasikan pulangan lumayan semata-mata. Adakah keselamatan ratu porno lebih utama? Ataupun membina humor atas kesengsaraan orang lain?

Ini adalah wajah tsunami yang saya kira agak parah. Ia hakikatnya lebih membawa keburukan dan kesengsaraan. Ia tidak bersifat ubat yang menyembuhkan tetapi hanya bersifat nanah yang membusuk.

Seandainya Tsunami itu dijadikan kayu pengukur sesebuah akhlak warga Negara, saya kira Tsunami di Malaysia adalah Tsunami paling hina. Tsunami ala Malaysia adalah Tsunami hodoh dan jelik yang saya kira sukar di terima oleh akal yang waras. Apabila rakyat Jepun meratapi kesedihan dan cuba bangkit untuk memperbaiki Negara akibat gempa, jiran bergelar Malaysia lebih kalut berbincang tentang ekonomi negara sendiri akibat bencana yang menimpa jirannya, Jepun. Adakah memenuhkan perut sendiri itu lebih utama berbanding kemanusiaan? Beginikah sifat hidup berjiran?

Belum pun reda gegaran dan deruan ombak ganas Tsunami di Jepun, media-media utama sudah berbincang tentang implikasi bencana besar di Jepun itu kepada pasaran saham di Tokyo serta akibatnya kepada kedudukan pasaran saham global termasuk Kuala Lumpur. Tatkala kenyataan rasmi Perdana Menteri tidak kedengaran, laporan ala kadar terhadap bencana luar biasa ini terus dihalakan pada soal ekonomi. Bukan ekonomi Jepun, tetapi kepentingan negara Malaysia, rakan niaga tradisi negara matahari terbit itu!

Mugkin kenyataan seorang tua di Jepun ini patut dijadikan iktibar apabila ditanyakan media berkenaan rumahnya yang rosak teruk dan ranap sama sekali akibat gempa. Dia dengan tenang dan selamba berkata: “Mari sama-sama bina semua!

Inilah wajah Tsunami ala Malaysia..Tsunami jiwa. Akhlak sudah hilang entah kemana. Apabila yang batil itu mahu dijadikan Hak. Kisah yang tidak sampai beberapa minggu ini mungkin akan menambahkan lagi parah penyakit Tsunami di Malaysia ini. Kisah bagaimana berpusu-pusu masyarakat yang tanpa berfikir tentang moraliti mengutip syiling yang jatuh bertaburan di jalan raya juga bagaimana beras dikaut beramai-ramai tanpa segan silu di pinggir jalan kerana kemalangan yang melibatkan pemandunya. Pemandunya hanya dibiarkan menderita kesakitan malah pembantunya dibiarkan mati begitu sahaja. Tenangkah diri memiliki syiling percuma? Ataupun kenyang sangatkah perut menelan nasi dari beras percuma? Tsunami sialan apakah?

Tepuk dada, tanyalah Iman. Hidup ini adalah sebuah pilihan. Setiap pilihan itu suatu hari pasti akan di persoalkan. Tiada sangkal lagi. Setiap orang dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan dirinya usai hidup di dunia ini. Dan pada ketika itu, jari- jemari tidak mampu lagi menuding orang lain bagi mencipta helah melepaskan diri. Langsung tidak berpeluang!


Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)