Twitter
RSS

melegakan hakikat

5



Adakala aku menulis dengan pelbagai warna dan gaya yang penuh lengok simpang siurnya. Adakala aku banyak bermonolog dan berfalsafah tentang kehidupan dan adakala medan ini aku jadikan sebagai medan meluah isi hati dan perasaan yang terdera itu mudah sahaja aku lampiaskan di ruang ini semahunya. Adakala aku abaikan ruang ini. Aku sengaja biar ruang-ruang ini terus kelam tanpa kata agar segala yang tersurat di sanubari itu terus hilang. Aku sengaja biarkan ia hilang dipuput masa dan ketika kerana ada perkara itu perlu dibiarkan begitu sahaja kerana aku kira ia tidak molek aku cerita dan nukilkan. .

Aku sering ditanya mengapa ada kalanya aku terus-terusan membisu tanpa kata di ruang ini. Boleh sahaja aku katakan aku hanya mahu menjadi penulis yang tipa objektif iaitu penulis yang berusaha menghilangkan dirinya dalam karya-karyanya. Pengarang tipa objektif mengekpresikan fakta dan pengalaman tanpa diganggu oleh perasaan peribadi, prejudis atau intrepitasi. Aku boleh sahaja bercerita apa sahaja semahuku tapi biarlah aku menulis yang baik-baik sahaja dan yang berguna sahaja agar yang menelitinya mendapat faedah yang baik bukan sebaliknya. Adakala aku suka menulis dan bercerita menggunakan gantinama “aku” dan adakala menggunakan gantinama “saya”. Begini sahaja hujahnya, ”aku” samalah ertinya dengan “saya”. Kadar berlainannya ialah hanya tentang masa dan tempat menggunakannya.

Saat dan ketika ini aku mahu sahaja bicara tentang rasa,duga dan prasangka apabila kita ini diuji dan diduga. Aku fikir ini satu perkara yang bikin orang hilang rasa tenang di jiwa. Dan aku sebagai seorang penulis mahu sahaja menulis agar hasilnya penulisan ini memberi sedikit rasa yang indah-indah sahaja buat insan yang meneliti tulisan ini kerana itulah sahaja yang aku mahu. Aku mahu membahagiakan semua yang membahagiakanku dan bahagia itu walaupun sifatnya agak kompleks aku mahu sahaja berusaha yang terbaik buat insan-insan yang sudi hadir dalam hidup aku ini..aduhai..semacam menulis surat cinta pula gayanya!

Aku mahu mulakan dengan kisah yang dirakamkan oleh kitab al-Jana’iz (jenazah ) dalam Sahih Imam Muslim. Kisah yang sangat indah ini benar buat setiap yang membacanya tertarik kerana kisah ini memberikan kuasa murni yang menyegarkan jiwa orang yang dirundung kesedihan akibat sesuatu yang menimpa. Kisah ini mengenai pasangan bahagia Abu Salamah dan Umu Salamah yang dikenali sebagai insan-insan terawal menerima risalah Nabi s.a.w di Makkah ketika seluruh penduduk itu menolaknya. Pahit getir kehidupan mereka dilalui bersama-sama dengan tabah termasuk apabila pasangan ini hendak berhijrah ke Madinah, mereka harus berpisah kerana orang Musyrik menghalang Abu Salamah untuk membawa isteri dan anaknya berhijrah. Setelah setahun kemudian pasangan yang saling mencintai ini kembali disatukan Allah di kota Madinah bersama Rasulullah s.a.w.

Suatu hari Ummu Salamah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah, lalu dia mengucapkan kata-kata yang Allah perintahkan (Innalillahi wa inna illahi raji un) dan berdoa : “Ya Allah, berikanlah padaku pahala atas musibah ini, dan gantikanlah musibah ini dengan sesuatu yang lebih baik,” sudah tentu Allah akan menggantikannya musibah itu dengan yang lebih baik untuknya.”

Tidak lama selepas itu, bertepatan dengan peristiwa perang Uhud, Abu Salamah pulang ke rumah dengan keadaan luka fizikal yang agak parah dan berselang lima bulan kemudian, beliau meninggal dunia kerana luka tersebut. Kejadian ini sungguh menyayat hati Ummu Salamah. Ia segera teringatkan pesan Rasulullah s.a.w. namun ia ragu-ragu kerana dia terfikir siapakah orang yang lebih baik dari Abu Salamah. Namun begitu, akhirnya Ummu Salamah tetap mengucapkan kata-kata itu juga.

Tidak lama setelah masa idahnya berlalu, Rasulullah s.a.w. datang meminang Ummu Salamah. Baginda adalah manusia terbaik yang yang pernah Allah ciptakan bagi menggantikan Abu Salamah sebagai janji Allah untuk orang yang bersabar dalam menghadapi ujian dan musibah.

Kisah yang dipaparkan ini berisi pengajaran yang amat berharga, iaitu musibah dan ujian dalam kehidupan itu juga merupakan satu jalan yang membawa kita menuju kejayaan. Andai Ummu Salamah tidak pernah melalui kepedihan hati kerana kematian suaminya, beliau tidak akan menjadi isteri Rasulullah s.a.w. dan mendapat kemuliaan abadi sebagai “Umul Mukminin” iaitu bermaksud ibu kepada orang yang beriman. Sebab itulah setiap muslim dituntut bersikap sabar dalam mendepani ranjau kehidupan sehari-hari kerana lazimnya disebalik sesuatu yang berlaku itu terkandung hikmah besar dan hanya sabar yang akan membawa kita bersamanya. Benar kata orang, sabar itu pahit. Tetapi yakinlah bahawa yang pahit itulah yang selalu menjadi kesembuhan pada kesakitan.

Aku bukanlah pandai dalam berceritera kisah dan pengajaran. Ini adalah sebahagian kisah yang terakam untuk tatapan aku dan kamu semua. Adakala dari kisah ini jika tafakur kita makin mendalam sebenarnya musibah, ujian atau apa sahaja yang mungkin dinamakan itu hanyalah bersifat retorika. Yang ada hanyalah ketentuan Allah. Allah yang menjadikan segala dan memiliki segala kesempurnaan. Maka, segalanya adalah ketentuan Allah yang harus diterima dengan husnal zan iaitu penuh bersangka baik.

Ada banyak kisah yang boleh dijadikan teladan buat kita semua dalam menghadapi ketentuan Illahi. Dan banyak juga cara syaitan mahu menabur benih kesesatan buat insan. Antaranya dengan menyuntik sifat menyalahkan diri dan sesuatu dengan menelah andai sebegini dan sebegitu. Begitulah seterusnya sehingga hati-hati yang rapuh itu berjaya ditawan oleh bahasa-bahasa kesumat dari syaitan. Namun, apabila ia berkata dengan penuh keyakinan,”Ini ketentuan Allah, dan ketentuan Allah yang selalu terbaik untuk diriku”, seolah-olah ia telah menutup terus pintu tipu daya syaitan. Fikir-fikirnya hanya akan terarah ke satu arah sahaja, iaitu mencari jalan keluar untuk sesuatu perkara itu sebaiknya. Jadi permasalahan itu bukan lagi sebuah masalah. Ia hanya ketentuan Allah seketika untuk sinar yang lebih sempurna. Semuanya kehendakNya dan dia yang Maha Pencipta.

Aku sering terngiang kisah seorang wanita solehah, isteri kepada Imam Fath al-Musili yang tersadung sesuatu hingga patah kuku jari kakinya. Beliau hanya tertawa melihat darah yang mengalir deras dari jarinya itu. Seseorang bertanya:”Tidakkah engkau merasa sakit? ” Ia menjawab dengan selamba: “Kelazatan pahalanya mengalahkan kesakitan yang aku rasai.”


p/s: mujurlah ada ujian ini, jika tidak aku akan jadi orang lalai dan lupa diri!


cd@mursyid othman: 5:28 am


Khutbah Terakhir-Cinta-Tangisan.

3

Khutbah ini disampaikan Rasulullah S.a.w pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah .

Tidak lama sesudah Rasulullah Saw. menyampaikan khutbah tersebut, turunlah firman Allah:

Pada hari ini telah Ku sem­purnakan bagi kalian agama kalian dan telah Ku cukupkan kepada kalian nikmatKu dan Islam telah Ku redhai menjadi agama bagi kalian (QS AI-Ma’idah [5]: 3).

Mendengar firman Allah tersebut, ‘Umar bin Al-Khathab pun menitiskan air mata. Melihat hal itu, dia pun ditanya:

‘‘Umar! Mengapa engkau menangis? Bukankah engkau ini jarang sekali menangis?”

“Kerana aku tahu, selepas kesempurnaan hanya ada ke­kurangan,” jawab Umar.

Ia telah merasakan suasana perpisahan terakhir dengan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang sangat dikasihi dan dicintainya.