Twitter
RSS

Bermain di Tangan Takdir.

3


1

Kalau manusia tidak boleh mempersoalkan zat Allah, tetapi semua kejadian alam dan ciptaan Tuhan boleh difikirkan secara rasional dan saintifik: kenapa terjadi demikian, dan kenapa tidak terjadi sebaliknya. Matlamatnya hanya satu. Memberi ruang setiap yang bergelar manusia itu bertindak atas dasar kecerdikan, ketertiban berfikir berpandukan ilmu serta panduan akhlak. Matlamatnya untuk apa dan tujuaannya untuk apa?

2

Kalau manusia tidak boleh melawan kekuasaan dan zat Alllah bahkan tidak mampu menafikannya walau sesaat, segala ini juga boleh difikirkan secara rasional dan saintifik. Tidak ada salahnya menimbang sedikit apa yang telah diperlakukan. Kecerdikan itu kita gunakan untuk tujuan atau matlamat apa?

3

Kalau Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dan kita sungguh sedar siapa kita, ini juga satu tonggaknya. Kita akhirnya akan tahu kebodohan apa yang telah kita lakukan sehari-hari dan kecerdikan itu hanya olengan-olengan yang langsung tidak dipandang Tuhan sedikitpun!

4

Kalau manusia tidak mampu mempersoalkan apa-apa sahaja kekuasaan Allah serta segala alam jagatnya seluruhnya, mampukan manusia itu akhirnya menjawab segala sifat napotisme, kecelaaan dan kebobrokan diri dalam mengejar matlamat songsang? Hendak disorok dimana segala jasad hina yang busuk dengan segala keruntuhan sosial, jiwa dan akal budinya?

5

Kalau kematian adalah takdir yang tidak dapat dielakkan, apakah tindakan salah atau betul itu adalah suatu takdir juga? Kalau perbuatan buruk atau kecelakaan itu dianggap takdir dan dengan itu tidak boleh dikritik, apakah perbuatan baik dan keberuntungan dianggap takdir juga dan dengan itu tidak perlu dipuji dan diberi ganjaran? Semua kejadian ini (buruk dan baik) adalah dalam pengetahuan dan kebijaksaan Tuhan. Dia yang menjadikan langit dan bumi, gempa dan tsunami, dan Dia yang menganugerahkan perasaan dan akal supaya manusia menggunakan kecerdikan mahupun kebodohan secara bebas memilih:..”jalan yang lurus”.

6

Kalau kematian itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, adakah kita mahu idealisme songsang yang menjadi bekalnya? Mengecap kebahagiaan atas tangisan orang lain. Aduh..kamu ingat Tuhan itu alpa? Bahkan Tuhan itu Maha Adil lagi Maha Pembela!

7

Klimaksnya, pada akhir hayat, tanpa ragu sekalian perbuatan akan menjadi bekal untuk dibawa bersama ke dunia yang abadi. Atas kecerdikan dan kebodohan diri sendiri inilah yang menjadi takdir buat diri setiap yang bergelar manusia. Begitulah barangkali kita menghitung hari-hari sebelum saat yang dipanggil mati: dan kalau kita diberi peluang untuk menulis biografi diri sendiri, kita pasti akan menyingkirkan episod-episod yang penuh tamak haloba dan penting diri sendiri daripada halaman-halaman biografi kerana halaman-halaman itu bukan sahaja memalukan, bahkan juga tidak berguna apa-apa untuk dibaca, kecuali ianya ibarat takdir yang sial. Memualkan!

8

Barangkali betul apa yang disebut seorang bijakpandai dari benua Eropah kurang lebih ditafsir begini...

”Kalau kita hendak sesuatu tu kekal sebagaimana adanya, ia harus berubah.”